Lelaki berdepan 4 pertuduhan penggubahan wang haram
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

29 Oktober 2025
TAWAU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan nilai keseluruhan RM230,000 yang dikaitkan dengan hasil aktiviti haram iaitu menjual sisa emas milik syarikat perlombongan emas di daerah ini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Brando Pang Tze Chiang, 50, yang merupakan Penolong Pengurus Besar di syarikat itu, selepas kesemua kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret Don Stiwin Malanjum.
Don kemudiannya menetapkan esok (30 Oktober) untuk sebutan semula kes tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen.
Berdasarkan pertuduhan, Brando didakwa melakukan kesalahan tersebut di dua bank berasingan di Tawau dan Kota Damansara yang melibatkan empat transaksi dari akaun milik Kedai Emas Sri Hawa ke akaun bank miliknya di antara tahun 2021 hingga 2023.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM75,000 daripada akaun Maybank Kedai Emas Sri Hawa ke dalam akaun Hong Leong Bank miliknya antara 17 April hingga 28 Oktober 2021 di cawangan Tawau, hasil daripada aktiviti haram.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM60,000 ke dalam akaun Hong Leong Bank Berhad miliknya antara 6 Mei 2022 hingga 2 Februari 2023 di Cawangan Tawau daripada akaun kedai emas itu.
Dalam pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima RM55,000 daripada akaun sama ke dalam akaun Public Bank miliknya antara 17 April 2021 hingga 28 Oktober 2021 di cawangan Damansara Utama, Selangor.
Pertuduhan keempat pula, beliau didakwa menerima RM40,000 dari akaun yang sama ke dalam akaun Public Bank miliknya antara 5 Mei 2022 hingga 2 Februari 2023, di lokasi bank yang sama.
Pendakwaan bagi keempat-empat pertuduhan dilakukan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Vivian Thien.


















Comments