JIM Tahan 20 Pati
- nabalunews
- Oct 30, 2025
- 1 min read

29 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, sejak semalam hingga hari ini.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook JIM Sabah pada Rabu, operasi berkenaan dilaksanakan selama lebih 12 jam bermula jam 10.30 malam hingga 1 tengah hari.
Menurutnya, operasi Ops Belanja, Ops Sapu serta Ops Bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Penampang, hasil aduan awam dan maklumat risikan.

Katanya, operasi melibatkan seramai 25 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi tumpuan warga asing.
“Pemeriksaan dijalankan terhadap 54 individu dan seramai 20 orang ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“PATI terdiri daripada lima warga Pakistan, 14 warga Filipina dan seorang warga Indonesia.

“Semua yang ditahan dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, semua tahanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, operasi berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan JIM Sabah memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan negeri ini bebas daripada kehadiran dan aktiviti PATI.
“Tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi serta membenarkan pendatang tanpa izin tinggal di premis mereka,” katanya.















Comments