Lelaki Cabut Lebih 20 Batu Nisan Ditahan
- nabalunews
- Mar 15
- 1 min read

15 Mac 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis, semalam, selepas dipercayai melakukan perbuatan khianat mencabut batu nisan di tanah perkuburan di kawasan Kampung Sungai Imam Bombalai Laut, di sini.
Lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai di sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
Katanya, kejadian yang mencetuskan kemarahan penduduk setempat itu mendapat perhatian pihak polis.
“Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan keresahan awam.
“Polis sedang menyiasat motif kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terbabit,” Katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.
Sehubungan itu, Jasmin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Terdahulu, kejadian berkenaan mendapat perhatian apabila rakaman video yang memaparkan lebih 20 batu nisan di tanah perkuburan berkenaan hilang tular di media sosial.
Comments