Lelaki ceroboh rumah ditahan polis
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

3 Disember 2025
TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang menceroboh sebuah rumah di Taman Berjaya bulan lalu, akhirnya ditangkap dalam serbuan di Kg Sungai Buaya, Batu 3 Jalan Apas, semalam.
Suspek berusia 20an itu ditahan sekitar jam 2.50 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah yang bertindak atas maklumat dan risikan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang 22 sentimeter yang disembunyikan suspek itu semasa pemeriksaan badan dilakukan.
Polis sebelum itu menerima laporan dibuat mangsa, 34, yang menyatakan ketika kejadian pada 3 November lalu, penggera keselamatan rumahnya berbunyi sekitar jam 1.35 pagi.
“Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) kemudiannya menunjukkan seorang lelaki memasuki perkarangan kediamanya melalui pagar belakang dan menuju ke bahagian hadapan rumah.
“Pemilik menegurnya melalui sistem suara kamera (CCTV) menyebabkan suspek panik lalu memanjat pagar dan melarikan diri ke kawasan rumah jiran,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1957 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


















Comments