Lelaki Dikehendaki Berjaya Diberkas Polis
- nabalunews
- Jun 21, 2025
- 1 min read

21 Jun 2025
TAWAU: Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang dikehendaki berhubung kes penipuan serta memiliki dadah jenis syabu dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Timur di sini, semalam.
Lelaki berusia 26 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 11 pagi menerusi operasi sekatan jalan yang diadakan secara rutin oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan oleh anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek, pasukan operasi menemui satu kotak rokok yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat anggaran 0.16 gram.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut mendapatinya positif dadah jenis syabu.
“Hasil semakan lanjut menggunakan peranti Mobile Card Acceptance Device (MCAD) turut mengesahkan suspek adalah individu yang dikehendaki polis berhubung kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan menggunakan dadah berbahaya.
Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes penipuan.
Dalam pada itu, Jasmin menyeru orang ramai agar terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis:
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline IPD Tawau atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.















Comments