Lelaki dikhuatiri dibaham buaya di Kalabakan masih belum ditemui
29 Oktober 2024
KALABAKAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 36 tahun yang hilang dikhuatiri dibaham buaya di sungai Ladang Palm Rides, di sini, Ahad lalu, masih belum menemui mangsa dan akan disambung esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini dimulakan pada jam 8 pagi tadi membabitkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, bersama 11 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Umas, dan Kalabakan.
Turut serta dalam SAR ialah 63 orang dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Pasukan penyelamat menjalankan SAR dengan radius pencarian 3.5 kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri dibaham buaya.
Mangsa yang dikenali Vinsensius Ndetu, 36, masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan jam 5 petang tadi dan akan disambung esok.
Maklumat akan dikemas kini dari masa ke semasa kata Jemishin.
Comments