top of page

Lelaki Dipercayai Pengedar Ketum Ditahan

  • nabalunews
  • 12 minutes ago
  • 1 min read

23 Mac 2026


KOTA MARUDU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti mengedar air ketum dalam operasi khas di Jalan Sumbilingon, di sini, Sabtu lalu.


Operasi kira-kira jam 11 malam itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, sepanjang operasi berkenaan, pasukan operasi berjaya memerika 14 kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, operasi turut menjalankan pemeriksaan terhadap dua kereta dan empat motosikal serta 50 individu.


“Pemeriksaan menyeluruh dijalankan dan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas khususnya melibatkan penunggang motosikal yang dipercayai terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.


“Lebih mengejutkan, pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan turut membawa kepada penemuan empat botol berisi cecair hijau disyaki air ketum,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua suspek terlibat ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut manakala barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Marudu.


Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1957 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Sehubungan itu, Simiun menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan atau penyalahgunaan bahan terlarang.


“Pihak polis memberi amaran tegas kepada pengguna jalan untuk menghentikan aktiviti samseng jalanan dan tidak menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan.


“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang,”katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page