Lelaki Disyaki Suspek Amang Seksual Diburu

17 Jun 2025
BELURAN: Polis memburu seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kes amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, suspek yang dikenali sebagai ‘Khan’ melakukan kejadian berkenaan di sebuah rumah di Kampung Buis Kiabau, di sini, 13 Jun lalu.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku di rumah keluarga mangsa sendiri.
“Laporan polis diterima daripada kanak-kanak terbabit yang merupakan warga tempatan pada kira-kira jam 4 petang di Balai Polis Telupid.
“Suspek berusia 20-an yang dipercayai warga Pakistan telah melarikan diri dan usaha memburu lelaki terbabit sudah dilancarkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Sehubungan itu, Hasan meminta orang ramai memberi kerjasama untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Sandra ditalian 011-2806 6182 atau balai polis Beluran 089-511 222 atau balai polis Telupid 089-521 721.
“Saksi kejadian juga boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.















Comments