Lelaki Ditahan dengan Lima Botol Air Ketum di Kundasang
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

23 Februari 2026
RANAU: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama lima botol air mineral yang dipercayai mengandungi air ketum dalam satu serbuan di tepi jalan Kampung Sinisian, Kundasang, hari ini.
Serbuan yang dijalankan pada kira-kira jam 1.30 petang itu diketuai sendiri oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Inspektor Abdul Fatah Qasim. Dalam operasi tersebut, sepasukan pegawai dan anggota polis telah memberhentikan sebuah kenderaan yang dinaiki seorang lelaki tempatan untuk tujuan pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, dalam kenyataan rasminya berkata, pemeriksaan terperinci terhadap kenderaan terbabit menemukan sebuah beg hitam yang diletakkan di bahagian hadapan tempat duduk penumpang.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut menemui lima botol air mineral berkapasiti 1.5 liter setiap satu yang mengandungi cecair disyaki air ketum. Anggaran nilai pasaran bagi keseluruhan barang kes adalah RM100, iaitu pada kadar RM20 bagi setiap botol," jelas beliau.
Suspek yang berusia 27 tahun itu kemudiannya ditahan di tempat kejadian untuk siasatan lanjut. Semakan rekod mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambah Superintendan Mursalin, pihak IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi membenteras kegiatan penjualan dan penyimpanan air ketum di daerah ini bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara daripada ancaman bahan terlarang.















Comments