Lelaki Ditahan, Polis Rampas 53.37 Gram Syabu di Kota Belud
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 28 Ogos: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan selepas polis menemukan dadah disyaki syabu seberat 53.37 gram dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Wokok Kinuta, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Khairul Shah Peri berkata, suspek ditahan kira-kira jam 12.15 tengah hari dalam operasi yang dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Belud.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Dadah yang dirampas dianggarkan seberat 53.37 gram dengan nilai kira-kira RM5,337.
“Suspek ditahan dan semua barang kes dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Khairul Shah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah diminta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan dan usaha membanteras kegiatan berkenaan.















Comments