Lelaki Filipina dipenjara 40 tahun 20 sebatan rogol anak kandung di Sandakan
9 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Seorang lelaki warga Filipina berusia 42 tahun dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 20 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan selepas dia mengaku bersalah merogol anak kandungnya sebanyak dua kali pada 2018 dan 2019.
Lelaki berkenaan membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim, Zaini Fishir @ Fisal selepas dua pertuduhan dibawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan satu kes cabul terhadap mangsa sama dibacakan terhadap lelaki itu di Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini.
Bagi kesalahan pertama dia mengaku melakukan perbuatan itu di belakang rumah ladang sawit di Batu 25, di sini dalam tahun 2018 di mana dia telah berpura-pura mengajak mangsa untuk menangkap ayam di bawah rumah mereka sebelum dia menarik mangsa ke kebun sawit belakang rumah itu dan merogol mangsa semasa ketiadaan ahli keluarga mereka yang ketika itu pergi ke rumah neneknya. Ketika itu mangsa berusia lingkungan 12 tahun.
Untuk kesalahan itu, dia dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dari tarikh ditangkap dan dihukum sebat sebanyak 10 kali.
Sementara bagi kesalahan kedua pula dilakukan di ruang tamu rumah tidak bernombor di lokasi sama ketika mangsa yang berusia 13 tahun pada waktu itu sedang bermain telefon di ruang tamu.
Perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh ayahnya di mana ketika kejadian, ahli keluarga mereka juga tiada di rumah kerana menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.
Bagi kesalahan itu, lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dari tarikh dia ditangkap dan disebat 10 kali.
Hukuman ini berjalan serentak dengan kesalahan rogol yang pertama.
Mangsa juga terpaksa mendiamkan diri dalam kedua-dua kejadian itu kerana telah diugut bunuh oleh lelaki tersebut.
Namun kejadian itu terbongkar setelah
rakan sekerja mangsa yang kini telah berusia 18 tahun ternampak pesanan dihantar lelaki itu kepada mangsa lalu mereka membuat laporan polis pada 27 Ogos lalu.
Lelaki berkenaan telah ditahan di kawasan Bandar Checkpoint Sandakan pada hari yang sama selepas laporan polis itu dibuat.
Manakala mangsa telah membuat pemeriksaan di Hospital Duchess Of Kent Sandakan bagi pemeriksaan berkaitan.
Lelaki itu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah turut didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dikenakan hukuman penjara 4 bulan yang berjalan serentak dengan dua hukuman rogol terbabit.
Selepas menjalani hukuman, hakim turut memerintahkan lelaki itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Timbalan Pendakwaraya, Bryan Francis melakukan pendakwaan kes itu.
Comments