Lelaki Hilang Selepas Kemalangan Di Laut
- nabalunews
- Jul 27, 2025
- 1 min read

27 Julai 2025
SEMPORNA: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama rakan dilanggar bot lain dalam kejadian berhampiran Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa yang terselamat Julamdi Abdillah, 30, bersama Balsiti Utumani, 40, dikatakan dalam perjalanan ke Pulau Mabul untuk memancing.
Julamdi berkata, dia dan rakannya yang bertolak dari Kampung Halo, di sini, sebelum tiba-tiba dilanggar sebuah bot dari arah kanan.

Katanya, insiden menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh ke dalam laut sehingga menyedari rakannya hilang.
“Cuaca ketika kejadian agak gelap dan saya tidak nampak jenis bot yang melanggar kami. Saya diselamatkan oleh satu bot yang kebetulan lalu di tempat kejadian.
“Saya kemudiannya dibawa pulang ke rumah di Kampung Halo sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Semporna kira-kira jam 8 pagi,” katanya.
Menurutnya, kejadian terus dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan mencari mangsa.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Mohd. Akhimullah Adan berkata, pihaknya menerima makluman kejadian pada jam 6.15 pagi.
Katanya, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan ke lokasi untuk membantu.
“Ketika ini, operasi SAR dijalankan dalam radius tiga kilometer dari lokasi insiden.
“Sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.















Comments