top of page

Lelaki warga Indonesia didakwa edar lebih 2 kg syabu

  • nabalunews
  • Aug 8, 2025
  • 1 min read

Milpan yang memakai baju hitam dan Sita (baju merah) diiringi polis keluar dari kamar Mahkamah Tawau, hari ini.
Milpan yang memakai baju hitam dan Sita (baju merah) diiringi polis keluar dari kamar Mahkamah Tawau, hari ini.

8 Ogos 2025


TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan mengedar lebih dua kilogram (kg) dadah jenis methaphetamine yang cuba diseludup keluar ke negara jiran Julai lalu.


Tertuduh, Milpan Acho, 22, didakwa mengedar dadah seberat 2,062 gram di Rastamas Foodcourt sekitar jam 9.30 pagi pada 25 Julai lalu yang dijalankan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.


Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati, sekiranya disabitkan kesalahan.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah, Mohd Afiz Huzairi Ayob.


Mahkamah menetapkan 11 September 2025 untuk tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia.


Dalam laporan media sebelum ini, suspek ditangkap bersama dadah dianggarkan bernilai RM74, 500 yang disembunyikan di dalam sebuah beg galas, dipercayai untuk dihantar kepada sindiket dadah di negara asalnya menerusi daerah ini.


Laporan itu turut mendedahkan suspek yang dipercayai masuk ke Malaysia melalui jalan tikus, diupah hampir RM4, 000 untuk menyeludup dadah berkenaan selepas memperoleh bekalan.


Manakala, kes seorang lagi lelaki warga Filipina yang turut didakwa mengedar dadah di mahkamah sama, akan disebut semula pada 18 September 2025.


Tertuduh, Sita Ahmad berdepan pertuduhan mengedar 104. 36 gram methamphetamine di sebuah rumah kongsi Ladang Benta Wawasan sekitar jam 1.30 pagi pada 25 Julai 2025.


Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala, kedua-dua tertuduh masing-masing tidak diwakili peguam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page