top of page

Lelaki Warganegara Pakistan Ditemui Mati Dibunuh di Keningau

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

ree

24 September 2025


KENINGAU: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki warganegara Pakistan yang dipercayai dibunuh sebelum ditanam di Kampung Kitung, di sini, semalam.


Mangsa berusia 30 tahun ditemui tertanam dalam timbunan tanah baharu berhampiran sebuah rumah pekerja ladang getah.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, mayat mangsa ditemui oleh pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah selepas kerja-kerja menggali dilakukan pada jam 6.25 petang.

ree

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan pada bahagian belakang kepala dan telinga kanan mangsa.


“Laporan polis berhubung kehilangan mangsa dibuat pada 22 September oleh rakan mangsa berusia 32 tahun yang juga warganegara Pakistan.


“Siasatan mendapati, kejadian dipercayai berlaku pada 20 September lalu apabila mangsa memaklumkan kepada rakannya dia akan berjumpa seorang individu di kawasan Kampung Meninipir, di sini.

ree

“Sejak itu, mangsa gagal dihubungi sehingga rakan mangsa menerima pesanan bergambar melalui Aplikasi WhatsApp yang dipercayai daripada mangsa, namun mesej berkenaan kemudiannya dipadam.


“Hasil pencarian bersama orang awam dan pasukan polis menemukan beberapa barangan termasuk pakaian mangsa, motosikal yang digunakannya, sebilah parang serta satu timbunan tanah baharu berhampiran rumah seorang pekerja ladang getah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan Unit Forensik menggali timbunan tanah berkenaan dan menemui mayat mangsa yang ditanam kira-kira 100 meter dari rumah pekerja ladang.


Katanya, siasatan mendapati suspek utama ialah seorang lelaki warganegara Filipina berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjaga kebun getah di lokasi terbabit.


"Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.


"Setakat ini motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.


Yampil berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Keningau sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page