LIGA SUPER: Alto Linus Seru Pemain Kekal Fokus, Sedia Hadapi Kelantan The Real Warriors FC di Likas
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

22 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Jurulatih Sabah FC, Alto Linus, menyeru anak-anak buahnya agar mengekalkan fokus dan konsistensi menjelang aksi Liga Super menentang Kelantan The Real Warriors FC yang akan berlangsung di Stadium Likas, malam esok.
Menurutnya, selepas mencatat keputusan positif dalam dua aksi di tempat lawan sebelum ini, skuad The Rhinos kini kembali ke laman sendiri dengan semangat yang tinggi, namun perlu berhati-hati agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian lalu.
“Dua perlawanan terakhir memang banyak bantu tingkatkan keyakinan pasukan, tapi kita tak boleh cepat puas hati.

“Setiap perlawanan itu penting dan bila bermain di deepan penyokong sendiri di Likas, kita kena kekal fokus dan main dengan penuh disiplin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabah FC bagaimanapun berdepan sedikit cabaran dalam persiapan perlawanan apabila beberapa pemain utama masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Ada beberapa pemain yang belum cergas sepenuhnya. Tapi saya yakin siapa saja yang diberi peluang akan beri yang terbaik untuk pasukan. Semua pemain tahu apa yang perlu dibuat bila turun ke padang,” tambahnya.
Mengulas mengenai lawan, Alto mengakui kehadiran ketua jurulatih baharu Kelantan The Real Warriors, E. Elavarasan telah membawa impak positif kepada pasukan tersebut menjadikan mereka sebagai pencabar yang perlu diberi perhatian.
“Kelantan The Real Warriors bukan lawan yang mudah. Mereka baru sahaja menewaskan KL City FC 3-1 dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV. Itu sudah cukup menunjukkan mereka sedang berada di landasan yang baik,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Sabah FC juga tampil cemerlang dalam pusingan pertama Piala FA apabila mencatat kemenangan 6-0 ke atas Bunga Raya FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
“Apabila kita bermain di tempat sendiri, sudah tentu kita mahu pastikan tiga mata kekal di Likas,” katanya.
Perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Kelantan The Real Warriors FC akan berlangsung malam esok, 23 Ogos 2025 di Stadium Likas dengan sepak mula dijadualkan pada pukul 8:15 malam.
Comments