top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lima Adun Umno Sabah, tiga bekas Adun Warisan sertai Gagasan Rakyat


21 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah dan tiga bekas ADUN Warisan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Hajiji Noor.


Mereka yang mengistiharkan keluar dari UMNO ialah Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tampasuk), Datuk Hamild @ Hamid Awang (Balung).


Pengisytiharan keluar parti itu diumumkan pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.


Manakala tiga ADUN yang mengisytiharkan keluar Parti Warisan awal bulan ini dan kini sah menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah  (Gagasan Rakyat) ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Azlinah Ariff (Kunak) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Wakil Adun itu, Dr. Yusof menganggap ini merupakan hari paling bersejarah menggerak langkah mengubah landskap politik Negeri Sabah yang belum pernah berlaku sebelum ini.


Katanya, beliau bersama rakan-rakan telah memikirkan semasak-masaknya mengenai hala tuju politik mereka di Sabah berdasarkan beberapa prinsip berikut:


“Oleh itu, kami lapan orang ADUN-ADUN dan pemimpin-pemimpin berbagai peringkat serta dari berbagai latar belakang pada hari ini mengisytiharkan membuat keputusan berikut, iaitu memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan yang beliau terajui dan memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” kata Dr. Yusof dalam kenyataan medianya.


Daripada 79 Adun Sabah, GRS kini mempunyai 40 Adun, Warisan (16 Adun), BN/UMNO (12), Pakatan Harapan (PH) Sabah (7), KDM (dua), Parti Bangsa Malaysia dan Parti Harapan Rakyat Sabah masing-masing seorang Adun.


GRS terdiri daripada Gagasan Rakyat (27 ADUN), Parti Bersatu Sabah (tujuh), Parti Solidariti Tanah Airku (enan), Parti Maju Sabah dan Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

bottom of page