Lima lelaki termasuk empat warga asing ditahan positif dadah di Sandakan
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
25 Mac 2026
SANDAKAN: Polis Daerah Sandakan memberkas lima individu termasuk empat warga asing dalam Operasi Tapis Narkotik yang dijalankan di dua lokasi utama di daerah ini semalam.
Dalam operasi bermula jam 3.00 petang itu, Bahagian Operasi Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menyasar kawasan Kampung Bukit Nenas dan Kampung Sundang Darat bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) George Abd Rakman dalam kenyataan memaklumkan bahawa seramai lima lelaki ditahan sepanjang operasi tersebut.

“Tahanan pertama membabitkan seorang lelaki warga asing yang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana disyaki memasukkan dadah. Manakala seorang lagi lelaki warganegara dan tiga lelaki warga asing ditahan kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri,” katanya.
Kesemua suspek dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing. Hasil ujian mendapati mereka semua positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu.
Pada jam 4.00 petang hari yang sama, pihak BSJND IPD Sandakan turut melengkapkan proses dokumentasi berkaitan tangkapan seorang lagi lelaki warganegara di pejabat BSJND yang juga disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh. Ujian saringan air kencing terhadap suspek tersebut turut menunjukkan keputusan positif bagi jenis dadah yang sama.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan di Lokap IPD Sandakan bagi tindakan lanjut.
Operasi bersepadu ini dilaksanakan selaras dengan tekad Ketua Polis Daerah Sandakan bagi membenteras jenayah dadah secara berterusan di daerah ini.















Comments