top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lima pambot, empat PATI ditahan dalam Op GASAK Laut - ESSCOM


11 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Sebanyak lima buah pambot dirampas dan empat orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dalam Operasi GASAK Laut yang dikendalikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di sekitar perairan Batu 3 hingga Batu 5 di sini, hari ini.


Operasi tersebut bertujuan untuk membendung penyalahgunaan pambot yang sering digunakan oleh penjenayah rentas sempadan untuk aktiviti rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).


Komander Eastern Command, DCP Victor Sanjos berkata operasi bersepadu yang melibatkan 96 orang pegawai dan anggota daripada jabatan dan agensi penguatkuasaan dan keselamatan persekutuan serta negeri Sabah itu telah memeriksa 13 buah pambot dan 26 orang individu.


"Daripada jumlah tersebut, lima buah pambot dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) manakala empat orang PATI ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media.


Beliau berkata operasi GASAK Laut yang menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan pambot tanpa lesen ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan jenayah rentas sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan PATI.


"Selain itu, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen cegah rintang dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan Tawau khasnya," katanya.


Tambah beliau, ESSCOM komited menguatkuasakan dan membanteras penyalahgunaan pambot, kemasukan PATI dan kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan di ESS Zone.


Beliau juga menasihatkan kepada semua pemilik pambot di perairan ESS Zone supaya mendapatkan lesen secara sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.


"Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat di ESS Zone agar terus membantu ESSCOM dengan melaporkan segera sekiranya terdapat aktiviti penyalahgunaan pambot ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072," katanya.

Comments


bottom of page