Lima Penunggang Ditahan, 10 Motosikal Disita
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

11 Januari 2026
LAHAD DATU: Lima penunggang motosikal ditahan berjaya dalam operasi OP Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, awal pagi tadi.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 10 motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan termasuk mengubahsuai kenderaan dan penunggang tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, operasi dilaksanakan di empat lokasi berasingan iaitu lokasi Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centrel dan Jalan Lahad Datu Sandakan-Tawau.

Katanya, hasil operasi berkenaan, seramai lima lelaki berusia 20 tahun ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan menunggang motosikal tanpa lesen memandu.
“Dalam operasi ini, keseluruhannya seramai 46 individu dan 35 motosikal ditahan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 32 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dzulbaharin berkata, pihaknya turut menyita 10 motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing yang berjaya ditahan sepanjang operasi kali ini.
Sehubungan itu, Dzulbaharin menasihati orang ramai khususnya ibubapa dan penjaga agar sentiasa memantau dan mengambil tahu pergerakan anak-anak.
“Ia bagi mengelakkam mereka daripada terjebak dengan aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral seperti ini dan operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung menularnya kegiatan ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti ini diminta untuk menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255,” katanya.


















Comments