Liputan Internet Sabah Capai 98.71 Peratus Menerusi Inisiatif JENDELA
- nabalunews
- Apr 29
- 1 min read

29 April 2026
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kerajaan Persekutuan terus komited dalam memperkukuh perkhidmatan komunikasi dan internet di seluruh negara termasuk Sabah melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
MCMC memfokuskan usaha memperkukuh infrastruktur digital negara menerusi pelaksanaan JENDELA Fasa 1 dan Fasa 2 serta pelbagai inisiatif berimpak tinggi.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, antara tujuh kawasan tumpuan utama termasuk lebuh raya, universiti awam, hospital, lokasi penganjuran acara, kawasan pelancongan, stadium dan penempatan ketenteraan.
Katanya, pelaksanaan ini dibuat dengan kerjasama penyedia rangkaian mudah alih bagi memastikan akses internet lebih meluas dan berkualiti, khususnya di kawasan kurang liputan.
“Sehingga 28 Februari 2026, liputan internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 98.71 peratus, meningkat ketara berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA.
“Antara pencapaian utama di Sabah termasuk pembinaan 663 menara komunikasi baharu yang kini beroperasi sepenuhnya, selain penaiktarafan kesemua 5,304 stesen pemancar sedia ada.
“Selain itu, sebanyak 335,254 premis kini mempunyai capaian gentian optik, manakala 138 lokasi telah menikmati perkhidmatan internet berasaskan satelit melalui teknologi Broadband Wireless Access (BWA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Alias Sani.
Menurutnya, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, pelaksanaan JENDELA turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila tiga menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi.
“Sebanyak 98 stesen pemancar sedia ada juga telah dinaik taraf, manakala 6,441 premis kini mempunyai capaian gentian optik. Dua lokasi di kawasan itu turut menerima perkhidmatan internet melalui teknologi BWA.
“Dalam usaha merapatkan jurang digital, MCMC turut menyediakan capaian internet secara kolektif melalui 1,099 rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara,” katanya.















Comments