top of page
  • Farah Salim

Lompat parti, perbuatan khianat, tidak bermaruah, tidak berintegriti: Bung Moktar



12 April 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perbuatan lompat parti walau apa alasan sekalipun adalah satu perbuatan khianat, tidak bermaruah dan tidak berintegriti.


Sehubungan itu katanya, beliau menyokong cadangan blok pembangkang agar Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan selewat-lewatnya akhir Mei ini.


“Saya seorang Ahli Parlimen yang konsisten untuk menentang lompat parti ini. Lompat parti ini perbuatan khianat, tidak bermaruah, tidak berintegriti, dengan apa alasan sekalipun, sama ada sukarela dan dipaksa, itu penipuan dan pembohongan semata-mata.


“Mereka melompat kerana kepentingan diri mereka sendiri untuk mendapat jawatan, kuasa dan sebagainya,” katanya ketika membahaskan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen, kelmarin.


Bung berharap, ada keinsafan dalam diri wakil-wakil rakyat dan tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat kepada mereka.


Katanya, semua pihak harus menghormati dan menerima keputusan pilihan raya lalu dengan hati terbuka.


“Ada pepatah mengatakan ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Jadi kita harus bersedia. Kalau kalah, kalah lah, kita hormat yang menang, tidak perlu lompat parti.


“Apa yang anehnya, hari ini ramai pula yang lompat berbahas, saya pun tidak tahu, mudah-mudahan mereka ada keinsafan, kerana perbuatan merekalah negara ini jadi kucar-kacir, malu diperingkat antarabangsa,” katanya.


Sehubungan itu beliau berharap RUU Anti Lompat Parti dapat diselesaikan Mei ini.


“Saya pun setuju dengan rakan-rakan di sebelah sana (pembangkang) kita selesaikan isu ini, selepas itu baru kita pilihan raya.


“Kalau tidak, rakyat di luar sana menunggu apa yang kita buat. cukup-cukuplah tidak perlu lagi lompat, yang ada kes mahkamah hadapilah. Macam saya banyak juga tekanan lompat sana, lompat sini, tapi saya kata tidak.


“Dari dulu prinsip saya tidak ada lompat-lompat. Kalau kalah, kalahlah, menang, menanglah apa mahu takut. Ini demokrasi, rakyat tolak kita sebab ada kesalahan dan kelemahan yang kita buat,” katanya.




Comments


bottom of page