M3PK bincang isu penjaja dan peniaga kecil negara – Ewon
- Wartawan Nabalu News
- 8 hours ago
- 1 min read

20 Jun 2025
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (M3PK) membincangkan isu-isu yang menjadi keprihatinan utama komuniti penjaja dan peniaga kecil negara.
Beliau berkata, M3PK juga menjadi platform memperkukuh kerjasama antara Kerajaan dengan komuniti penjaja serta peniaga kecil.
“Bagi mesyuarat pertama tahun 2025 ini, sebanyak empat kertas pembentangan dibincangkan selain daripada isu-isu yang menjadi keprihatinan utama golongan penjaja dan peniaga kecil negara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat M3PK Bil. 1/2025, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha KUSKOP Dato Sri Khairul Dzaimee Daud, Exco-exco Kerajaan Negeri serta pimpinan persatuan penjaja dan peniaga kecil kebangsaan serta wakil-wakil negeri.
Ewon berkata, Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 November 2024 bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan penjaja dan peniaga kecil supaya lebih berdaya maju.

“Dasar ini juga bertujuan untuk menggalakkan peningkatan skala dan jaringan pasaran ke arah perniagaan yang mampan. Dengan adanya D3PKN2030 ini, KUSKOP berharap iltizam pembangunan dan pemerkasaan komuniti penjaja dan peniaga kecil dapat dijayakan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa KUSKOP akan menganjurkan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK) 2025 pada 31 Oktober hingga 2 November 2025 di Temerloh, Pahang, sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan golongan itu.

Sebelum mesyuarat berlangsung, satu Seminar Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Penjaja dan Peniaga Kecil (EMPOWERPPK) turut diadakan melibatkan 50 peserta dari sekitar Putrajaya.
Seminar ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Bank Rakyat, TEKUN, INSKEN, KWSP, PERKESO dan Kolej Komuniti Hulu Langat.
Comments