Madius gesa strategi bersepadu capai sasaran DSTIN
- nabalunews
- Jul 18, 2025
- 1 min read

17 Julai 2025
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa usaha bersepadu melibatkan semua pihak bagi memastikan sasaran Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) dapat dicapai.
Dasar berkenaan menyasarkan 60 peratus pelajar mengambil mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Madius berkata setakat ini pencapaian di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran hanya mencecah 32 peratus, manakala pelajar yang mengambil sains tulen hanya sekitar 10 peratus.
“Banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan mencapai sasaran ini, termasuk kadar kelulusan yang rendah dalam subjek STEM saban tahun.
“Akibatnya, kepimpinan dan pentadbiran sekolah tidak memberi dorongan yang mencukupi kepada pelajar untuk mengambil subjek-subjek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Madius yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau prihatin terhadap kepentingan sasaran dasar tersebut, justeru menyeru agar pelbagai strategi dirangka untuk memastikan pelaksanaannya berjaya.
“Sebagai Ahli Parlimen Tuaran, saya bersetuju supaya Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran menjalinkan kerjasama lebih erat dengan PPD Tuaran bagi memperjuangkan aspirasi DSTIN,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan ibu bapa dan pemimpin masyarakat dalam menggalakkan anak-anak menceburi bidang STEM.
“Sektor korporat dan swasta juga harus memainkan peranan aktif, termasuk membantu dalam melaksanakan inisiatif menarik minat pelajar terhadap STEM, selain memperkukuh kapasiti guru dari aspek pedagogi dan kaedah pengajaran,” katanya.















Comments