Madius turun padang tinjau keadaan tanah runtuh di Kg. Kopungit

5 September 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau turun padang melawat lokasi tanah runtuh di Kampung Kopungit untuk melihat keadaan sebenar masalah penduduk kampung berkenaan.
Beliau berkata, UPKO akan memberikan bantuan bersesuaian kepada penduduk kampung terjejas selepas mendapat maklumat penuh jumlah rumah dan keluarga yang terjejas.

“Saya juga berharap pihak kerajaan dapat mempercepatkan pembaikan kerosakan akibat tanah runtuh di kawasan itu untuk keselesaan dan keselamatan penduduk kampung.
“Melalui lawatan ini, saya mendapat gambaran yang komprehensif tentang keadaan di Kampung Kopungit” katanya ketika ditemui Wartawan Nabalu News semasa lawatan itu.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu, Dennison R Indang, Ketua Wanita UPKO Kota Kinabalu, Rowindy Lawrence, Ketua Kg Kopungit Kategis John francis serta wakil dari JKR dan UMS.

Madius juga menasihatkan penduduk kampung supaya mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarah berpindah ke kawasan lebih selamat.
“Saya difahamkan beberapa keluarga telah diarah untuk mengosongkan rumah mereka kerana ianya berisiko tanah runtuh,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Phoong Jin Zhe turut meluangkan masa meninjau keadaan tanah runtuh di Kampung Kopungit kelmarin.

“Saya dimaklumkan bahawa stor penyimpanan ubat-ubatan KKM dan beberapa kenderaan tertimbus termasuk sebuah motorsikal. Syukur tiada mangsa yang terlibat dilaporkan. Tiada kecederaan dan kematian,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa juga telah mengarahkan penduduk kampung mengosongkan rumah di sekitar tanah runtuh bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Saya turut mengambil perhatian serius terhadap kejadian tanah runtuh di sebelah air tangki JANS Kg Kopungit. Menurut pegawai JKR, Jabatan Air bersama kontraktor dan pihak Bomba, kerja-kerja pembaikan kritikal telah dimulakan,” katanya.
Beliau berkata, bagi mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara, beliau bersama team DAP Luyang sedia memberi bantuan.
Comments