Mahasiswa mahu kerajaan bantu persatuan pelajar universiti Mahasiswa mahu kerajaan bantu persatuan pelajar universiti
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Mahasiswa mahu kerajaan bantu persatuan pelajar universiti



11 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu memberi perhatian serius persatuan-persatuan pelajar peringkat universiti awam atau swasta, terutamanya dalam aspek kebajikan pelajar.


Wakil Kerusi Etnik Sabah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Rudey Asok turut mencadangkan kerajaan negeri memberikan bantuan kewangan kepada persatuan berkenaan agar lebih aktif membantu pelajar.


“Persatuan pelajar yang diwujudkan di setiap universiti bertujuan menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Misalnya Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), ia adalah persatuan pelajar Sabah yang menjaga kebajikan dan memberikan sokongan moral kepada para pelajar negeri ini yang melanjutkan pelajaran di UPSI.


“Bagaimanapun persatuan kami menghadapi masalah kewangan, sebab itu adalah lebih baik kerajaan negeri dapat membantu persatuan-persatuan pelajar universiti bagi memudahkan kami menyalurkan bantuan kepada ahli-ahli , kerana kami lebih memahami dan mengetahui masalah yang dihadapi pelajar,” katanya semasa Webinar “Harapan Generasi Muda Sabah” anjuran Upko, semalam.


Rudy antara panelist perbincangan itu berkata, selain pelajar universiti yang belajar di Semenanjung atau Sarawak, terdapat juga golongan belia yang bekerja di perantauan menghadapi masalah kewangan.


“Kebanyakan belia yang mencari kerja di Semenanjung adalah daripada keluarga B40 dan ada diantara mereka datang dari keluarga bermasalah.


“Antara cabaran yang dihadapi belia di perantauan ialah mudah terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga terjebak dalam pelbagai masalah sosial.


“Selain itu ada juga diantara mereka yang tiada motivasi bekerja atau diberhentikan kerja menyebabkan mereka menghadapi masalah kewangan, sehingga terjerumus dalam aktiviti tidak sihat,” katanya.


Beliau berkata, antara persatuan yang dapat membantu golongan belia ialah Pasok Momogun. “Persatuan ini memainkan peranan aktif membantu belia yang berhadapan dengan masalah tertentu”.


Sementara itu Graduan UPSI Sarjana Pendidikan (Bahasa Kadazandusun) Fiurine Minsin berkata, pendidikan merupakan bekalan penting untuk menjadikan kehidupan yang lebih baik pada masa depan.


“Para belia harus ada kesedaran betapa pentingnya pendidikan pada masa kini. Apatah lagi perkembangan dunia sekarang yang begitu pantas menuntut belia lebih berdaya maju agar dapat bersaing di peringkat global.


“Justeru itu, belia perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran kerana kita tidak tahu tuntutan apa yang diperlukan oleh dunia pada masa akan datang,” katanya.


Fiurine juga berharap ada inisiatif dari pihak kerajaan negeri membantu golongan belia yang ingin melanjutkan pengajian lebih tinggi (peringkat Sarjana dan Kedoktoran) dalam pelbagai bidang.


“Ini bagi membantu melahirkan modal insan yang lebih berkemahiran dalam pelbagai bidang sekaligus membantu dalam kemajuan pelbagai aspek khususnya di Sabah,” katanya.


bottom of page