top of page

Kerjasama ‘BN, PH Plus’ Hadapi PRN Sabah. - Ahmad Zahid

  • nabalunews
  • May 8
  • 1 min read


8 Mei 2025


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menumpukan usaha untuk memperkuatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.


Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama politik di negeri itu akan melibatkan ‘BN, PH plus’ untuk membina kesepakatan yang utuh.


“Kita serah kepada kebijaksanaan BN Sabah dengan panduan daripada pusat untuk mencari jalan bijaksana bagi menentukan dominasi kesepakatan ini,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais Asean (AFC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.



Ditanya mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ahmad Zahid berkata BN sentiasa terbuka untuk menjalin sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik, kerana parti itu mengamalkan prinsip ‘membuka pintu seluas-luasnya dan tidak menutup pintu serapat-rapatnya’.


“Ertinya masih ada ruang yang luas bagi jalinan kerjasama jaringan politik di Sabah,” katanya.


Mengenai pembahagian kerusi, Ahmad Zahid menyifatkan perkara itu masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana rundingan secara terperinci mengenainya akan dilakukan kelak.


“Terlalu pramatang untuk buat keputusan dan kita akan buat rundingan secara terperinci mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri yang bakal kita tanding,” katanya.


Sebelum ini BN Sabah mengesahkan akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).


Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir dilapor berkata baki 33 kerusi diberikan kepada Pakatan Harapan (PH).– BERNAMA

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page