Cadangan bekerja dari rumah tidak libatkan sektor pendidikan, kesihatan awam
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

17 Mac 2026
PUTRAJAYA: Perbincangan laporan awal berhubung cadangan bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam tidak melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan buat masa ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia kerana kedua-dua sektor berkenaan adalah kritikal dan dikategorikan sebagai barisan hadapan.
“Waktu ini cadangan tersebut tidak membabitkan sektor pendidikan dan kesihatan kerana dua sektor berkenaan bersifat barisan hadapan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Jemaah Menteri telah menerima laporan awal berkaitan perkara itu yang disediakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Menurutnya, perincian cadangan itu akan diteliti dengan lebih rapi sebelum dibentangkan semula dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) selepas Aidilfitri.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pelaksanaan ketika ini hanya akan tertumpu kepada sektor awam memandangkan jumlah penjawat awam yang besar.
“Bagaimanapun sektor swasta tidak dihalang untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah sekiranya mempunyai keupayaan, namun ia tidak tertakluk kepada penyelarasan kerajaan.
“Bagi sektor swasta, memang ada syarikat yang mengamalkan dasar bekerja dari rumah sejak pandemik (Covid-19) dan tidak dihalang sekiranya mereka merasakan ada keperluan,” ujarnya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneliti secara serius pelaksanaan semula dasar bekerja dari rumah bagi sektor awam bagi mengurangkan beban perbelanjaan fiskal susulan konflik berlarutan di Asia Barat.
Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada langkah yang sedang dipertimbangkan untuk mengimbangi implikasi kenaikan subsidi petrol dan diesel yang kini mencecah tambahan RM2 bilion.
Pendekatan itu, katanya bukan sahaja mampu menjimatkan kos operasi kepada kerajaan, malah dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.















Comments