top of page

Penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak, kerajaan teliti semula mekanisme subsidi

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

17 Mac 2026


PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti semula pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi menangani isu penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berdasarkan maklum balas jawatankuasa penguatkuasaan.


Menurutnya, penelitian semula itu merangkumi penilaian sama ada mekanisme sedia ada wajar diteruskan atau digantikan dengan pendekatan baharu yang lebih berkesan.


"Antara yang diberi penegasan adalah mekanisme Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang mungkin perlu diteliti dengan lebih rapi.


“Sama ada diteruskan dengan mekanisme sedia ada atau dirangka satu mekanisme yang berbeza," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini pada Selasa.


Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan turut memperincikan pembahagian bidang tugas agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh kawalan ke atas bahan api itu.


Jelasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguruskan penguatkuasaan di darat, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan perairan dan sungai.


“KPDN dan APMM akan diperkemas serta diselaraskan bagi meningkatkan keberkesanan dalam membanteras penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.


“Kawasan sempadan pula sedang diperincikan dengan cadangan untuk diselia oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS),” katanya.


Sebelum ini Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, risiko ketirisan dan penyeludupan lebih besar di Sabah dan Sarawak berikutan pelaksanaan subsidi pukal diesel yang masih diteruskan di kedua-dua negeri berkenaan.


Beliau berkata, implikasi kewangan subsidi kerajaan akan meningkat sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibendung secara tegas.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page