Gula-Gula Beracun: Ancaman Baharu Remaja
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
17 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Sindiket dadah kini menggunakan taktik paling licik dengan menyamarkan pelbagai jenis dadah berbahaya sebagai gula-gula berwarna-warni, makanan ringan dan pelekat kartun bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta memerangkap golongan remaja dan pelajar sekolah.
Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, bahan terlarang seperti ekstasi, LSD atau asid, dan methamphetamine kini dihasilkan dalam bentuk yang menarik dan mudah diterima oleh golongan muda. Walaupun kelihatan seperti gula-gula biasa, kandungan di dalamnya adalah dadah aktif yang boleh meragut nyawa dan memusnahkan masa depan seseorang dalam sekelip mata.
Pihak polis memandang serius modus operandi ini yang dilihat semakin agresif menyasarkan institusi pendidikan dan kawasan tumpuan awam. Pengambilan bahan ini boleh mengakibatkan kesan kesihatan yang dahsyat termasuk kerosakan sistem saraf pusat, halusinasi teruk, serangan jantung, dan kematian mengejut.
Sehubungan itu, JSJN menasihatkan orang ramai terutamanya ibu bapa, guru dan pelajar untuk sentiasa berwaspada dengan tidak mudah menerima sebarang makanan atau minuman daripada individu yang tidak dikenali di mana jua berada. Masyarakat juga diminta agar tidak berkongsi makanan dengan orang yang tidak dikenali terutamanya di tempat awam dan pusat hiburan.
Selain itu, orang ramai diingatkan supaya jangan sekali-kali bersetuju untuk menjadi orang tengah menyimpan, membungkus atau membawa barangan bagi pihak orang lain, walaupun dijanjikan imbuhan wang ringgit, kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan seseorang terjerumus dalam kesalahan berkaitan dadah.
JSJN memperingatkan bahawa individu yang ditangkap memiliki atau mengedar dadah boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman berat termasuk hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup. Janji manis sindiket hanya akan membawa kepada penyesalan dan penderitaan di penjara, justeru jangan biarkan diri atau anak-anak menjadi mangsa taktik licik ini.
Pihak JSJN menyeru ibu baya, guru serta masyarakat untuk terus peka dan memantau persekitaran anak-anak bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah. Masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dadah diminta segera menyalurkannya kepada JSJN di talian hotline 012-208 7222 bagi membanteras kegiatan ini.















Comments