Silap tanda 'cukai ditanggung majikan', tidak perlu kemuka borang pindaan – LHDN
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

18 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Pembayar cukai individu yang tersilap menandakan ruangan ‘Cukai ditanggung oleh majikan’ pada Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2025 tidak perlu mengemukakan pindaan borang berkenaan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat pembayar cukai yang secara tidak sengaja menandakan ruangan berkenaan, menyebabkan mereka masih belum menerima bayaran balik lebihan cukai.
Menurut LHDN, semakan telah dilaksanakan dan kes terlibat sudah dikenal pasti.
“Bagi kes yang disahkan sebagai kesilapan penandaan, bayaran balik lebihan cukai akan diproses secara berperingkat.
“Sehubungan itu, pembayar cukai tidak perlu mengemukakan pindaan BNCP Tahun Taksiran 2025 bagi membetulkan pindaan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
LHDN memaklumkan sistem pemprosesan bayaran balik cukai dilaksanakan secara automatik berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai dalam BNCP.
Justeru katanya, ketepatan maklumat yang diisikan adalah penting bagi memastikan proses bayaran balik dapat dijalankan lancar dan tanpa kelewatan.
Pada masa sama, LHDN berkata pihaknya komited untuk memastikan pengurusan bayaran balik cukai dilaksanakan secara adil, telus dan berintegriti selaras dengan usaha berterusan memperkukuh kecekapan pentadbiran percukaian negara.















Comments