Program Madani Rakyat 2025 jangkau perkhidmatan awam ke Timur Sabah
- nabalunews
- May 8
- 2 min read

8 Mei 2025
TAWAU: Program Madani Rakyat (PMR) 2025, di Dataran Majlis Perbandaran Tawau bermula esok hingga Ahad ini (11 Mei), dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kesejahteraan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan awam secara langsung kepada masyarakat khususnya di Pantai Timur Sabah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program anjuran Kerajaan Madani ini mampu memberikan manfaat besar kepada rakyat di negeri ini, khususnya di daerah Tawau dan kawasan sekitarnya.
“Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang telah dijalankan. Saya yakin dengan persiapan rapi oleh semua kementerian dan agensi terlibat, program ini akan berjalan lancar dan berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan persediaan akhir PMR 2025, di tapak program malam tadi.
Turut serta dalam tinjauan itu Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, timbalan-timbalan ketua setiausaha, pegawai tertinggi kementerian serta wakil Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi Pejabat Perdana Menteri (PACU).

Ewon berkata, PMR 2025 akan menghimpunkan 36 reruai kementerian dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta menyediakan sebanyak 204 perkhidmatan touchpoint rakyat.
Beliau berkata, Jualan MADANI turut diadakan menyediakan lebih 200 jenis barangan jualan dengan tawaran potongan harga sehingga 30 peratus.
“Selain jualan dan pameran, program ini turut menyediakan khidmat nasihat pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang memberi peluang kepada rakyat untuk berurusan secara langsung tanpa perlu ke pejabat,” katanya.
Beliau mengalu-alukan semua penduduk Tawau, kawasan berhampiran serta rakyat Sabah amnya untuk hadir ke program ini dan mengambil peluang daripada pelbagai perkhidmatan dan pameran yang disediakan.

PMR 2025 dijangka dihadiri lebih 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari pelaksanaan, dengan sasaran nilai jualan mencecah RM1 juta dan padanan niaga sebanyak RM1.5 juta.
Katanya, PMR 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif Madani yang bertujuan merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat diakses secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.
Program MADANI Rakyat PMR 2025 Sabah, sebuah inisiatif berteraskan rakyat anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku Kementerian Peneraju dari 9 hingga 11 Mei 2025.

Program ini merupakan gerakan nasional bagi memperkasakan rakyat dengan mengurangkan kemiskinan melalui keusahawanan berteraskan nilai-nilai dalam kerangka Malaysia MADANI, iaitu kelestarian, hormat, inovasi,kesejahteraan, dan keyakinan.
Inisiatif ini akan menyatukan kementerian persekutuan, agensi negeri, dan usahawan akar umbi untuk menyampaikan perkhidmatan dan peluang secara langsung kepada masyarakat.
Comments