top of page

Mahkamah Tolak Petisyen Cabar Kemenangan ADUN Pintasan

  • nabalunews
  • 30 minutes ago
  • 1 min read

13 Mac 2026


KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini, menolak dan membatalkan petisyen mencabar kemenangan Datuk Fairuz Renddan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan.


Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin yang memfailkan petisyen berkenaan turut diarahkan membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Fairuz.


Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Datuk Farisz Gohim Abdullah selepas membenarkan bantahan awal (PO) yang dikemukakan oleh Fairuz.

Peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili Fairuz memaklumkan antara bantahan diterima ialah petisyen berkenaan didapati cacat kerana gagal menyatakan dengan jelas kesalahan yang didakwa mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya.


Selain itu, petisyen itu juga didapati gagal memenuhi kehendak peruntukan di bawah Seksyen 11(1)(b) serta tidak menyatakan dengan jelas keputusan pilihan raya dan bahawa Pegawai Pengurus Pilihan Raya telah mengisytiharkan responden pertama sebagai pemenang sah bagi kerusi DUN Pintasan.


Pandikar yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat memfailkan petisyen mencabar keputusan DUN Pintasan pada 22 Disember tahun lalu dengan menamakan Fairuz sebagai responden pertama.


Pandikar mendakwa berlaku amalan tidak sah ketika pilihan raya kerusi Pintasan pada 29 November lalu selain mendakwa Fairuz terbabit dalam perbuatan rasuah yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Sementara itu, Fairuz turut menzahirkan rasa syukur dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Pilihan Raya


Beliau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, beliau akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan di kawasan Pintasan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page