Majikan wajib patuhi pengisytiharan 15 September sebagai cuti am tambahan – Steven
- nabalunews
- Jul 23, 2025
- 1 min read

23 Julai 2025
PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan, majikan wajib mematuhi pengisytiharan 15 Sept ini sebagai cuti kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia.
Menurutnya, pelaksanaan cuti kelepasan am tambahan itu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Kerja 1955 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak dan Akta Hari Kelepasan 1951.
Katanya, majikan mempunyai tiga pilihan iaitu memberi hari kelepasan am tambahan tersebut dan membayar gaji biasa atau mengarahkan pekerja hadir bekerja dan membayar gaji mengikut kadar hari kelepasan am.
“Majikan juga boleh memilih memberi gantian cuti pada hari lain sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan berkenaan.
“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersedia memberi khidmat nasihat serta menjawab sebarang pertanyaan daripada majikan dan pekerja berhubung pelaksanaan hari kelepasan am tambahan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sim berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengisytiharkan 15 Sept 2025 sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia.
Beliau menyifatkan pengumuman tersebut sebagai berita gembira buat pekerja sektor awam dan swasta di seluruh negara.
“Cuti tambahan ini memberikan ruang buat seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan perpaduan, memperkukuh semangat kebangsaan serta menghargai keistimewaan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya.
Ujarnya, cuti panjang bukan sahaja memberi peluang untuk beriadah dan meningkatkan kesejahteraan hidup pekerja Malaysia, malah turut merancakkan ekonomi sekali gus membawa kesan positif kepada ekonomi setempat.
Majikan atau pekerja yang memerlukan panduan lanjut boleh menghubungi talian hotline Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di talian 03-8886 5192/5937 atau e-mel ke jtksm@mohr.gov.my atau hadir ke Pejabat JTK berhampiran.















Comments