top of page

Maklumat Awam Bantu Polis Rampas 25.7 Kg Syabu

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read

24 Februari 2026


PENAMPANG: Maklumat yang diterima daripada orang awam membawa kepada kejayaan rampasan lebih 25.7 kilogram dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah kondominium di daerah ini, semalam.


Dalam operasi itu, semua dadah yang dianggarkan bernilai RM1.28 juta itu didapati diletakkan di lobi bangunan kondominium berkenaan.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil serbuan, pasukan operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) berjaya menemukan 24 paket plastik lut sinar.


Katanya, semua paket berkenaan didapati berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis Methamphetamine.


“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dan menahan individu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ini.


“Polis juga akan menjalankan siasatan dalam usaha membongkar rangkaian pengedaran dadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sehubungan itu, Sammy menegaskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang awam.


Katanya, maklumat yang disalurkan sebelum ini membawa kepada kejayaan rampasan dadah yang mencecah nilai jutaan ringgit.


“Orang awam digesa terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa.


“Usaha ini bolh membantu memastikan daerah Penampang kekal selamat dan bebas dari ancaman jenayah dadah,” tegasnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page