• Wartawan Nabalu News

Malaysia Borneo Football Cup 2022: MMT Junior bermua garang

MMT Junior memulakan hari pertama Malaysia Borneo Football Cup dengan dua kemenangan besar.

25 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pasukan Media Mix Team (MMT) Junior B-11 memulakan hari pertama kejohanan Malaysia Borneo Football Cup 2022 dengan bergaya apabila menang besar dalam dua perlawanannya, di Kompleks Sukan Penampang, di sini, hari ini.


Dalam aksi pertama bertemu Tabs KK, MMT Junior menang 5-1 manakala aksi kedua mereka menyaksikan mereka sekali lagi kenduri gol apabila menundukkan SK Likas FC 5-0.


Dengan dua kemenangan itu, MMT Junior mendahului saingan dalam kumpulan B sekali gus layak ke peringkat separuh akhir walaupun masih mempunyai satu lagi perlawanan bertemu Akademi Tunas Labuan, esok.


Aksi lain dalam kumpulan B menyaksikan SK Likas FC seri 2-2 dengan Akademi Tunas Labuan, dan Tabs KK juga seri dengan Akademi Tunas Labuan 1-1.


Sementara dalam kumpulan A, pasukan dari Selangor, FC Setia Alam mendominasi kumpulan apabila menang dua perlawanan awal mereka.


FC Setia Alam menang 3-0 ke atas Akademi Bola Sepak Tuubagu dalam aksi pertama seterusnya menang 4-0 ke atas Pekan FC dalam aksi kedua.


Lain-lain keputusan dalam kumpulan A ialah Sandakan Excellent FC menang 3-0 ke atas Pekan FC, dan Akademi Bola Sepak Tuubagu menang tipis 1-0 ke atas Sandakan Excellent FC.


Perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan separuh akhir bakal berlangsung di venue sama, esok.