Malaysia komited perkukuh teknologi digital beretika untuk kesejahteraan rakyat
- nabalunews
- Oct 14, 2024
- 1 min read

14 Oktober 2024
SINTOK: Malaysia terus komited untuk mengukuhkan peranan teknologi digital dalam ekonomi global, dengan menekankan kepentingan komunikasi beretika dan kesejahteraan rakyat sebagai asas pembangunan teknologi tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, selain daripada menyediakan perkhidmatan yang inklusif dan selamat, teknologi digital juga perlu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, sambil mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Teknologi yang berkembang pesat pada hari ini bukan sahaja membentuk cara kita berkomunikasi tetapi menuntut kita untuk memberi keutamaan kepada aspek etika, memastikan kesejahteraan rakyat dan bertanggungjawab ketika menggunakan teknologi digital ini,” katanya ketika merasmikan “9th International Conference on Communication and Media” (i-COME’24) secara sidang video yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Fahmi juga menekankan pentingnya melindungi rakyat daripada risiko seperti salah maklumat dan buli siber, yang boleh memecahbelahkan komuniti dan mengancam nyawa.
“Ledakan maklumat melalui pelbagai platform digital bukan sahaja membawa peluang tetapi juga cabaran… pengguna perlu berpegang kepada prinsip-prinsip etika,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh tentang inisiatif kerajaan seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA), National Cloud Policy, dan penubuhan pejabat kecerdasan buatan (AI), yang bertujuan memastikan teknologi digital memberi manfaat besar kepada ekonomi dan masyarakat.
i-COME’24 yang bertemakan “Menggubah Masa Hadapan Kita: Mengharmonikan Kesejahteraan, Etika dan Tanggungjawab Dalam Komunikasi” disertai 80 pembentang dari dalam dan luar negara, dan berlangsung selama dua hari.
Comments