Malaysia larang penjualan produk herba ‘Hong Thai Inhaler’
- nabalunews
- 5 minutes ago
- 2 min read

6 November 2025
PUTRAJAYA: Produk herba ‘Hong Thai Inhaler’ didapati tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan dilarang dijual di Malaysia selepas produk itu dilaporkan ditarik balik di Thailand berikutan pencemaran oleh bakteria berbahaya.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), pihaknya melaksanakan tindakan kawalan segera termasuk membuat saringan penjualan produk berkenaan di platform e-dagang dan menyekat pautan penjual terlibat.
KKM memaklumkan, pemantauan berterusan dan tindakan penguatkuasaaan akan dijalankan terhadap penjual yang dikesan masih memasarkan produk terbabit.
“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah mengesan 335 pautan iklan dan jualan produk itu oleh penjual tempatan dan luar negara.
“Susulan itu, BPF telah mengemukakan notifikasi aduan kepada pihak platform terbabit untuk menurunkan iklan-iklan produk tersebut bagi melindungi kesihatan awam,” kata kementerian itu dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam masa sama, KKM meminta orang awam supaya menghentikan penggunaan produk berkenaan serta-merta dan mendapatkan nasihat perubatan sekiranya mengalami kesan sampingan atau gejala mencurigakan.
KKM turut menjelaskan bahawa penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar merupakan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun, manakala syarikat boleh berdepan denda sehingga RM50,000.
“KKM kekal proaktif menjalankan pemantauan terhadap iklan ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan termasuk di platform e-dagang bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956,” menurut kenyatan itu lagi.
KKM memaklumkan bagi tempoh Januari hingga 30 September 2025, sebanyak 25,335 iklan perubatan telah disaring, manakala 1,958 pautan pelokasi sumber seragam (URL) dimohon untuk sekatan, selain 11,287 URL dinotifikasi kepada platform e-dagang tempatan untuk diturunkan.
Menurut kementerian itu, nilai rampasan produk tidak berdaftar yang direkodkan bagi tempoh sama berjumlah RM41.3 juta melibatkan 10,442 item.
Dalam pada itu, KKM turut menasihati orang ramai supaya menyemak status pendaftaran ubat melalui pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran (MAL) sebelum membuat pembelian. Semakan juga boleh dilakukan di laman web www.npra.gov.my.


















Comments