Malaysia lonjak 11 tangga, ke-23 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2025
- nabalunews
- Jun 18
- 2 min read

17 Jun 2025
PUTRAJAYA: Malaysia mencatat peningkatan memberangsangkan dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi dunia, berbanding tempat ke-34 tahun lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian ini menunjukkan negara berada di landasan kukuh dalam mencapai sasaran Ekonomi Madani untuk tersenarai dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033.
“Antara penyumbang utama kepada lonjakan ini ialah faktor Kecekapan Kerajaan yang naik sebanyak lapan anak tangga ke kedudukan ke-25 berbanding kedudukan pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini menggambarkan keberkesanan usaha menyeluruh kerajaan dalam memperkukuh struktur tadbir urus negara, institusi awam serta proses kawal selia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, antara pencapaian lain yang menyokong peningkatan itu termasuklah pengurusan kewangan awam yang kini berada di kedudukan ke-27 (naik daripada tempat ke-35), manakala kerangka institusi negara meningkat 11 anak tangga ke kedudukan ke-20.
“Manakala di bawah sub-faktor Kerangka Institusi, indikator Birokrasi melonjak 22 anak tangga ke tempat ke-14. Ini membuktikan keberhasilan pelaksanaan awal Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB),” katanya.
Menurutnya, indikator berkaitan sogokan dan rasuah turut menunjukkan peningkatan positif apabila naik 12 anak tangga ke kedudukan ke-34, mencerminkan keyakinan komuniti perniagaan terhadap ketegasan kerajaan membanteras rasuah serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Shamsul Azri berkata, selaras dengan pencapaian ini, kerajaan akan terus memperkukuh Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) melalui pemantauan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR).
“Langkah digitalisasi serta penggunaan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) juga akan terus diperluas bagi memastikan perkhidmatan awam yang cekap, telus dan responsif.
“Lebih 1,000 projek RKB akan terus dilaksana secara agresif merangkumi peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan, seperti yang dimeterai dalam Deklarasi Kuala Lumpur pada November tahun lalu,” katanya.
WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpusat di Switzerland bagi menilai keupayaan sesebuah ekonomi menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.
Comments