top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia Perkukuh kerjasama dengan negara-negara anggota OECD



Ewon bergambar bersama ketua-ketua agensi kementerian yang menyertai ke persidangan OECD di Paris.

29 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PARIS: Malaysia bersama Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah mengadakan perbincangan mengenai cadangan kerjasama dua hala dalam bidang keusahawanan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana.


Bagi merealisasikan potensi kerjasama itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick telah mengambil inisiatif mendengar taklimat bidang-bidang keusahawanan yang boleh diteroka bersama.


Satu pertemuan diantara Ewon dengan Ketua Bahagian Asia Selatan dan Tenggara Direktorat Perhubungan dan Kerjasama Global OECD Alexander Bohmer telah diadakan.


Menerusi pertemuan itu OECD berhasrat mengukuhkan hubungan dengan Malaysia melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU), mengenai pelbagai bidang substantif termasuk dasar pelaburan dan persaingan, perdagangan, PKS, perindustrian, dasar ekonomi dan isu alam sekitar dan kelestarian.



OECD dianggotai 38 buah negara antaranya Australia, Austria, Belgium, Kanada, Chile, Columbia, Costa Rica, Czech Republic, Denmark, Finland, Germany, Greece, Hungary, Ireland, Itali, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Spain, Sweden, Turki, United Kingdom dan Amerika Syarikat.


Mesyuarat tersebut berlangsung selama tiga hari yang disertai oleh negara-negara anggota dan bukan anggota OECD.


Ewon antara ahli panel dalam enam sesi mesyuarat itu dan telah menyampaikan input-input berkaitan pembangunan keusahawanan dan PKS di Malaysia.


Selepas persidangan OECD, Ewon akan mengadakan lawatan kerja di Algeria untuk mesyuarat dua hala dan seterusnya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan Kerajaan Algeria dalam bidang PKS.



MoU tersebut merupakan susulan kunjungan Duta Kerajaan Algeria ke Malaysia Saad Maandi kepada Ewon awal tahun ini.


Turut serta dalam lawatan itu Ketua-Ketua Agensi di bawah KUSKOP iaitu Pernas, SME Corp, Bank Rakyat dan SME Bank.

bottom of page