Malaysia tidak akan berkompromi dalam melindungi Sabah daripada mana-mana tuntutan

26 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya dan tidak akan melayan sebarang tuntutan yang dibuat oleh sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, dalam ucapan penutupnya di Kolokium Timbang Tara Antarabangsa London 2023, di London, berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963.
"Malah kolokium ini tepat pada masanya kerana kita baru sahaja meraikan sambutan Hari Malaysia yang ke-60 lebih seminggu lepas," katanya.
Zambry juga menyatakan bahawa Malaysia masih berhadapan dengan cabaran perundangan di beberapa negara untuk membatalkan dan menolak award akhir timbang tara yang diberikan kepada kumpulan Sulu.
"Meskipun kesemua tindakan ini telah mengorbankan sumber yang berharga iaitu dana yang boleh digunakan bagi menyokong perkembangan sosioekonomi di Malaysia, saya ingin mengulangi di sini bahawa Malaysia tidak akan berkompromo dalam usaha melindungi kedaulatan dan integriti wilayahnya," katanya.
Beliau juga mengkritik penimbang tara yang terlibat dalam kes itu sebagai individu yang tidak mempunyai kaitan dengan rantau Asia Tenggara dan berlagak seperti seorang samseng di Eropah.
"Mengapa kelangsungan dan nasib Malaysia terletak di tangan penimbang tara yang berlagak seperti seorang samseng di Eropah? Ungkapan tidak adil langsung tidak boleh mentafsirkan penjajahan bentuk baharu ini. Malah ia menunjukkan sedari mula lagi, proses timbang tara itu adalah salah. Atau terma yang lebih biasa didengar oleh khalayak hari ini ialah mala fide," katanya.
Zambry menyeru agar sistem timbang tara antarabangsa diperbaiki dan ditadbir dengan lebih telus dan adil.
Beliau berkata, terdapat entiti jahat yang berniat untuk menyalahgunakan sistem itu demi kepentingan sendiri.
"Ini akan mengancam prinsip asas keadilan dan kesaksamaan sistem undang-undang yang dipercayai oleh kebanyakan kita. Dengan itu, sudah tiba masanya kita memperbaharui ekosistem litigasi pihak ketiga bagi memastikan keseimbangan yang adil antara akses kepada keadilan dan ketelusan tindakan litigasi," katanya.
Beliau juga mengakui kepentingan timbang tara sebagai sebahagian daripada resolusi pertikaian alternatif, peranan institusi timbang tara antarabangsa dan prosesnya dalam menyelesaikan isu-isu yang rumit.
"Meskipun Tuntutan Sulu telah mengejutkan Malaysia, dan saya percaya, seluruh dunia juga, ia turut menonjolkan hakikat bahawa masanya sudah tiba untuk membaik pulih sistem itu," katanya.
Kommentare