top of page

Malaysia-UK perkukuh kerjasama TVET, tenaga hijau dan pembangunan luar bandar

  • nabalunews
  • Jun 3
  • 2 min read

3 Jun 2025


KUALA LUMPUR: Malaysia dan United Kingdom (UK) sepakat untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tenaga hijau serta pembangunan luar bandar.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya bersama Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK, Steve Reed, sempena lawatan kerjanya ke negara itu selama empat hari sehingga esok.


“Pertemuan ini amat bermakna kerana membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia–UK, khususnya dalam bidang TVET, halal, pengurusan bencana dan pembangunan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Zahid berkata, Malaysia komited untuk menjadi Hab Pensijilan dan Kecemerlangan TVET ASEAN, dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik (EV), industri penerbangan dan tenaga boleh baharu.


Selain itu, katanya, turut dibincangkan berkaitan potensi kerjasama dalam membangunkan tenaga hijau termasuk Grid Kuasa ASEAN dan pelaburan tenaga solar yang kini menjadi agenda global pasca perubahan iklim.


“UK menerusi syarikat nasional GB Energy menunjukkan kesungguhan dalam hal ini dan Malaysia bersedia menjadi rakan strategik,” katanya.


Menurutnya, Malaysia turut menyatakan hasrat untuk mempelajari pendekatan UK dalam membangunkan kawasan luar bandar sebagai zon pertumbuhan ekonomi mampan.


“Kami turut menyentuh keperluan membangunkan kerjasama dalam pengurusan bencana, penyediaan air bersih dan teknologi adaptasi perubahan iklim,” katanya.


Menurutnya, beliau turut mencadangkan penggunaan instrumen kewangan Islam seperti sukuk bagi membiayai inisiatif pembangunan mampan serta memperkukuh industri halal global menerusi penggunaan logo halal seragam dan piawaian Malaysia yang diyakini dunia.


“Malaysia dan UK turut bersepakat untuk mengukuhkan hubungan dagang termasuk melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta kerjasama sektor swasta.


“Saya yakin usaha ini bukan sahaja akan menguntungkan kedua-dua negara, tetapi juga menyumbang kepada masa depan global yang lebih adil dan mampan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page