• Wartawan Nabalu News

Mana hak kami sebagai penduduk asal dalam bekas geran Komunal Sepulut 4?


21 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


NABAWAN: Lebih 800 penduduk asal dari enam buah kampung di sini merayu kepada kerajaan GRS supaya membantu menyelesaikan tuntutan tanah adat mereka yang telah dikeluarkan daripada geran komunal.


Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Tanah Adat Kawasan Bekas Geran Komunal Sepulut 4, Muhammad Fadhli Starong Abdullah berkata, kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Koyoon, Kampung Bigor, Kampung Tonomon, Kampung Kuku Emas, Kampung Bukokoh dan Kampung Kainggalan.


Beliau berkata, Geran Komunal Sepulut 4 FR.154000567 telah dimansuhkan pada tahun 2020 dan ditukar kepada geran persendirian namun 60 peratus penama atau benefisiari dalam bekas geran komunal itu adalah orang luar.

Muhammad Fadhli

“Oleh itu kami merayu kepada kerajaan negeri dibawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor supaya melihat dan meneliti isu ini. Penduduk asal yang lahir dan membesar dalam kawasan ini  menuntut tanah-tanah adat kami daripada pihak syarikat berkenaan,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Muhammad Fadhli berkata, sejak kewujudan Geran Komunal Sepulut 4 pelbagai masalah timbul.


“Kami merasa tertipu dengan pelaksanaan Geran Komunal ini. Penduduk asal langsung tidak mempunyai hak ke atas tanah mereka,” katanya.


Beliau mendakwa, sejak kebelakangan ini, kebebasan penduduk asal (pemilik tanah) dalam bekas geran komunal Sepulut 4 sangat terhad kerana pihak syarikat berkenaan menghalang mereka melalui jalan-jalan ke kebun mereka.


“Pihak syarikat menghalang (dengan memasang gate) dan penduduk kampung di dalam kawasan berkenaan tidak dapat melalui kawasan tersebut sedangkan jalan-jalan itu telah lama wujud sejak berpuluh-puluh tahun lamanya sebelum kewujudan syarikat di Sepulut 4.


“Kami penduduk kampung memohon supaya pihak syarikat menghentikan penganiayaan dan pencabulan hak asasi manusia kepada Orang Asal.


“Kami juga tidak berpuas hati terhadap syarikat berkenaan kerana sering menggunakan khidmat polis untuk menakutkan penduduk kampung. Kami (Orang Asal) amat menghormati undang-undang, namun kami merasakan perjuangan kami mempertahankan hak ke atas tanah adat ini bukan kesalahan jenayah sivil,” katanya.

 

Muhammad Fadhli berkata, penduduk asal menyokong penuh dasar-dasar kerajaan seperti inisiatif ‘pecah geran kepada geran Individu’ seluas 15 ekar diberikan kepada setiap peserta yang tersenarai (benefisiari) dalam bekas geran komunal Sepulut 4.


“Namun demikian, kami tidak setuju dan tidak berpuas hati kerana hampir 60 peratus penama dalam bekas geran komunal itu terdiri daripada orang luar dan bukan penduduk asal.


“Oleh itu, kami memohon pihak Jabatan Tanah dan Ukur (Ibu Pejabat) meneliti semula penama atau benefisiari bekas geran komunal itu.

 

“Kami merayu kepada pihak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar membantu menyelesaikan tuntutan kami selaku penduduk asal yang lahir dan membesar di kawasan ini,” katanya.


Beliau mendakwa, walaupun geran tanah komunal di kawasan itu telah dimansuhkan dan ditukar kepada geran persendirian semasa kerajaan Warisan namun pihak syarikat berkenaan masih beroperasi seperti biasa seolah-olah tiada pemansuhan geran komunal.