top of page

Sabah Terima Peruntukan Tertinggi Skim Tanam Semula Sawit

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

ree

28 Oktober 2025


KOTA BELUD: Sabah menjadi penerima tertinggi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), dengan jumlah peruntukan RM41 juta diterima pada tahun 2024 dan RM11.4 juta lagi setakat Julai 2025.


Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata setakat ini, sebanyak 707 permohonan telah diluluskan di Sabah, melibatkan lebih 3,000 hektar kawasan tanaman sawit di seluruh negeri.


“Sejak awal tahun ini, saya sendiri telah menjelajah ke seluruh Sabah bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk menyampaikan peruntukan dan mendengar sendiri suara pekebun kecil,” katanya dalam hantaran di Facebook.


Terdahulu, beliau menghadiri Program Santuni Pekebun Kecil Sawit dan Koko yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di Taginambur, di sini hari ini.


Chan berkata, program berkenaan bukan sahaja memperkukuh hubungan dengan pekebun kecil sawit dan koko khususnya di daerah Kota Belud, malah sebagai platform menyampaikan maklumat berkaitan sektor terbabit yang disediakan kerajaan.


Ia termasuk Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) selain Program Pembangunan Tanaman Koko.


Dalam pada itu, beliau berkata, kehadiran memberangsangkan dalam kalangan pekebun kecil ke program itu menunjukkan komitmen serta sokongan padu terhadap inisiatif turun padang Kerajaan MADANI.


“Saya yakin, dengan sokongan berterusan daripada Kerajaan MADANI dan komitmen para pekebun kecil, kita mampu memperkukuh sektor sawit dan koko sebagai nadi ekonomi luar bandar Sabah,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page