top of page

Manfaatkan kemudahan awam untuk menyatukan penduduk kampung- Ewon

  • Mark Gilbert
  • Feb 1, 2022
  • 2 min read

ree
Ewon (belakang, lima dari kanan) bergambar bersama para pemenang dan peserta pertandingan itu.

1 Feb 2022

Oleh Mark Gilbert


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menggesa penduduk di Kadamaian agar menggunakan sepenuhnya kemudahan awam untuk acara-acara yang menyatu-padukan rakyat.


Beliau berkata, kemudahan awam seperti dewan, gelanggang dan padang seharusnya dimanfaatkan untuk aktiviti yang boleh menyatu-padukan rakyat seperti sukan, kebudayaan, ekonomi, keramaian dan aktiviti lain yang bersesuaian.


“Di Mukim Melangkap, Dewan Kg. Melangkap Baru adalah yang terbesar dibina semasa saya dalam kerajaan iaitu antara tahun 2018 hingga 2020.


ree

“Selain itu, tiga lagi dewan terbuka dibina di kawasanini iaitu di Kg. Melangkap Tomis, Kg.Melangkap Tiong dan Kg.Melangkap Noriou. Saya berharap kemudahan-kemudahan ini dapat digunakan sebaik-baiknya untuk menyatu-padukan penduduk kampung.


“Seringkali kita dengar kemudahan ini digunakan untuk aktiviti-aktiviti politik. Ianya memang dibolehkan samada parti itu di pihak kerajaan atau pembangkang. Tetapi kepenggunaannya harus melebihi perjumpaan-perjumpaan politik. Acara-acara yang bersifat menyatu-padukan rakyat perlu disokong dan diteruskan di bangunan-bangunan awam ini,” katanya.


ree
Ewon menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori bergu veteran lelaki.

Ewon menyatakan demikian semasa berucap menyempurnakan penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan Badminton Tertutup Melangkap 2022 anjuran Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Melangkap dan Kelab-Kelab Badminton Mukim Melangkap.


Sementara itu, Pengerusi Penganjur Jameson Yabis berkata, pertandingan itu julung kalinya diadakan selepas kerajaan memberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan acara-acara sukan.


ree
Ewon menerima cenderahati daripada Jameson.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ewon di atas sumbangan dan peranan besar beliau memastikan bangunan dewan baharu Kg.Melangkap Baru dibina menggantikan dewan lama yang telah usang dan tidak lagi digunakan beberapa tahun sebelumnya.


Berkenaan penggunaan dewan tersebut, Jameson berkata, kelab-kelab badminton di kampung-kampung dalam Mukim Melangkap telah bersetuju untuk bergilir-gilir setiap hari menggunakan dewan tersebut untuk riadah badminton.


ree
Ewon menyampaikan ucapan ringkas.

“Pihak penganjur juga berterima kasih di atas sumbangan keperluan sepanjang pertandingan ini yang telah disumbangkan oleh Datuk Ewon.


“Kami berharap beliau akan terus menyokong acara-acara seperti ini di Melangkap termasuk cadangan untuk mengadakan Karnival Sukan Mukim Melangkap akan datang,” katanya.


ree
Ewon meluangkan masa bersantai dengan penganjur dan para peserta di Nohutu Eco Camp Melangkap selepas penyampaian hadiah.

Dalam pertandingan tersebut, kategori bergu lelaki terbuka dimenangi oleh E.D. Vane dan Artcher, kategori bergu terbuka wanita dimenangi oleh Lorain dan Taradai, manakala kategori bergu veteran lelaki dimenangi oleh Jameson dan Nibot.


Ewon turut meluangkan masa bermain badminton dan seterusnya bersantai dengan para peserta dan jawatankuasa penganjur di Nohutu Eco Camp Melangkap.




 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page