Mangsa banjir Sabah menurun kepada 2,403 setakat petang ini
- nabalunews
- Sep 18
- 1 min read

18 September 2025
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah dilaporkan menurun kepada 2,403 setakat jam 7 petang tadi, berbanding 3,036 orang dalam tempoh sama malam tadi.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu melibatkan 775 keluarga yang kini ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah terjejas termasuk Putatan, Beaufort, Membakut, Papar, Penampang dan Sipitang.
Membakut mencatatkan jumlah tertinggi dengan 927 mangsa daripada 279 keluarga ditempatkan di lima PPS antaranya SMK Bongawan, SMK St.Patrick dan Dewan Masyarakat Bongawan selain Dewan Pei Yien serta Dewan Kesenian Islam Membakut.
Daerah Penampang pula merekodkan 630 mangsa daripada 215 keluarga di lapan PPS, manakala Beaufort dengan 274 mangsa melibatkan 88 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Selagon.
Selain itu, Putatan yang sebelum ini mencatat mangsa tertinggi kini dilaporkan menurun kepada 93 orang membabitkan 29 keluarga di PPS Dewan SMK Petagas.
Di Papar, seramai 190 mangsa daripada 60 keluarga direkodkan di satu PPS, manakala Sipitang dengan 289 mangsa melibatkan 104 keluarga di tiga PPS.
Sementara itu, jumlah mangsa tanah runtuh di dua daerah iaitu Penampang dan Papar direkodkan 66 orang melibatkan 14 keluarga di empat PPS.
Dewan Gawir di Madsiang, Penampang diaktifkan pagi tadi susulan hakisan dan kejadian tanah runtuh yang melanda kawasan itu.


















Comments