Mangsa Dibunuh, Dikerat Dan Dibuang Di Tempat Pembuangan Sampah
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

12 Februari 2026
KOTA KINABALU: Seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila ditemui di tempat pembuangan sampah di Indah Permai, di sini, pagi tadi.
Lebih menyedihkan, anggota badan mangsa yang dikerat beberapa bahagian itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum ditemui pekerja pembersihan sampah kira-kira jam 7 pagi.
Setakat ini, identiti mangsa yang ditemui di dua tempat pembuangan sampah berasingan itu masih belum dapat dikenalpasti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan serpihan anggota badan manusia pada kira-kira jam 8.00 pagi.
Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai Indah Permai.

“Semua bahagian yang dijumpai dipercayai milik individu sama namun identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, usaha sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta mengesan waris terdekat.
Katanya, Pasukan Forensik polis Kontinjen Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) serta Unit Anjing Pengesan (K9) sudah menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti dan membantu siasatan.
“Berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuh tersebut dibuang di kawasan rumah kedai berkenaan.
“Siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian, modus operandi kejadian serta individu yang terlibat.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HQEI dan bedah siasat dijadualkan dijalankan jam 8.30 pagi, esok,” katanya.
Sehubungan itu, Syed Lot berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Rahman di talian +60 12-310 6882.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 dan segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan,” tegasnya.
Syed Lot berkata, pihak polis memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.














