Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup daging kering penyu, balat bernilai lebih RM200 ribu
10 Julai 2024
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menumpaskan cubaan menyeludup seludup daging spesis terancam yang dipercayai penyu dan balat di perairan Kudat, Ahad lalu.
Pengarahnya, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak hasil maklumat risikan, aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op Sejahtera, Op Naga Timur, Op Perkasa Putih dan Op Tiris 3.0 telah diatur gerak bagi mengesan sebuah bot yang dilaporkan sedang melakukan aktiviti mencurigakan di kawasan pesisir timur Pantai Tanjung Kalutan, Kudat sekitar pukul 5.00 petang hari berkenaan.
Jelas Maurice lagi, semasa cuba menghampiri bot terbabit, suspek telah bertindak melarikan diri ke kawasan cetek bagi mengelakkan daripada ditahan pihak penguat kuasa Maritim Malaysia.
Tambah beliau, setibanya bot peronda Maritim Malaysia di lokasi, pihaknya telah menemukan 23 guni daging penyu kering dianggarkan seberat 160 kilogram serta 52 guni balat kering dengan anggaran berat 500 kilogram yang telah dicampakkan oleh suspek.
Kesemua barangan rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000 itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki cubaan menyeludup spesis haiwan terlindung.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, Maurice turut memaklumkan Zon Maritim
Kudat telah berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kerana melakukan beberapa jenis kesalahan di kedudukan kira-kira 1.85 batu nautika tenggara Tagumamal Laut, Kudat, Sabtu lalu.
Hasil pemeriksaan, anggota Zon Maritim Kudat telah menahan dua individu rakyat tempatan berusia 17 dan 27 tahun yang mengendalikan bot terbabit.
Kedua-dua suspek bersama bot serta hasil tangkapan telah ditahan dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Ia atas kesalahan tidak mempunyai lesen perikanan dan menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.
Berikutan dua kejadian terbabit, Zon Maritim Kudat meminta masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan selain turut membantu Maritim Malaysia melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
Comments