top of page

Maritim Malaysia pastikan perairan negara terus aman, gagalkan kemasukan 206 pendatang tanpa izin

  • nabalunews
  • Aug 15, 2024
  • 1 min read


15 Ogos 2024

 

PUTRAJAYA: Dalam usaha memastikan perairan negara kekal selamat dan bebas daripada ancaman, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan kemasukan 206 pendatang tanpa izin dari Januari hingga Julai lalu.

 

Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah berterusan untuk memastikan keselamatan perairan negara.

 

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, berkata sepanjang tempoh tersebut, agensi itu juga mencatatkan 446 kes tangkapan melibatkan vesel nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan, dan 151 kes yang membabitkan vesel kargo.

 

Beliau turut menjelaskan bahawa Maritim Malaysia telah merekodkan 68 kes tangkapan berhubung pencerobohan vesel nelayan asing serta enam kes penyeludupan kontraban.

 

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di kawasan Zon Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan sejahtera," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

 

Selain itu, Saiful Lizan turut mengumumkan pelaksanaan Program Pemasangan Jalur Gemilang bagi Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Maritim Malaysia, yang melibatkan hampir 50 kenderaan jabatan dan motosikal milik warga Maritim Malaysia.

 

Program ini juga disusuli dengan Kibar Jalur Gemilang di peringkat Maritim Negeri dan Zon Maritim sebagai simbol semangat patriotisme menjelang Sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

 

Beliau menegaskan pentingnya seluruh warga Maritim Malaysia memberikan taat setia dan perkhidmatan cemerlang bagi memperkasa agenda pembangunan negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page