top of page

Maritim Malaysia tahan bot nelayan 'tarik tepi' di Tawau

nabalunews

Tangkapan 3 rakyat Indonesia yang disyaki menjalankan aktiviti menarik pukat pada jarak yang tidak dibenarkan, semalam.
Tangkapan 3 rakyat Indonesia yang disyaki menjalankan aktiviti menarik pukat pada jarak yang tidak dibenarkan, semalam.

7 Februari 2025


TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari dua batu nautika dari daratan di Sungai Umas Umas, semalam.


Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim, Shahrizan Raman berkata, dalam kejadian jam 2.15 petang itu, seorang juragan dan dua awak-awak warga Indonesia turut ditahan bersama bot nelayan terbabit.


Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua lelaki berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun itu dipercayai melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat pada jarak yang tidak dibenarkan.

Bot nelayan tempatan ditahan berhampiran Sungai Umas Umas, semalam.
Bot nelayan tempatan ditahan berhampiran Sungai Umas Umas, semalam.

"Kegiatan mereka berjaya dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris ketika sedang menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan daratan kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Sungai Umas Umas.


"Juragan dan awak-awak serta bot dan hasil laut, ditahan lalu diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Shahrizan berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985.


Katanya, semua barangan termasuk bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM76, 000.


Mengulas lanjut, Shahrizan berkata, Maritim Malaysia menerima keluhan dari nelayan pantai yang terjejas dengan kehadiran bot pukat tunda yang melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat berhampiran daratan.


Ini kerana, katanya, aktiviti menarik pukat ini boleh merosakkan ekosistem laut, merosakkan peralatan menangkap ikan nelayan kecil dan aktiviti perikanan nelayan-nelayan tradisional di kawasan pantai.


Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membantu Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut.


Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999.

Commenti


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page