Maritim Malaysia Tahan Dua Nelayan Warga Asing
- nabalunews
- Jan 20
- 2 min read

20 Januari 2026
KOTA KINABALU: Dua nelayan warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah lampu di dasar laut.
Bot berkenaan berjaya ditahan dalam rondaan penguatkuasaan kira-kira 0.5 batu nautika timur di perairan Tanjung Melanim, baru-baru ini.
Kaedah penangkapan ikan yang digunakan bot itu bukan saja menyalahi undang-undang tetapi juga dibimbangi merosakkan ekosistem marin.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penggunaan lampu di dasar laut merupakan kaedah penangkapan yang dilarang.
Katanya, ia mampu menarik hidupan marin secara tidak terkawal sekali gus menjejaskan keseimbangan ekosistem laut.
“Hasil pemeriksaan, dokumen pengenalan diri kru vesel juga meragukan selain kegagalan mengemukakan dokumen pertukaran juragan yang sah.

“Dua individu warga Filipina masing-masing berusia 54 tahun dan 19 tahun yang mengendalikan bot berkenaan terus ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Khairulanuar menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan yang menggunakan lampu di dasar laut kerana ia memberi kesan buruk kepada sumber perikanan negara dan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan kerajaan.
“Jika dibiarkan, kegiatan ini bukan sahaja merugikan nelayan yang mematuhi undang-undang, malah mengancam kelangsungan sumber laut dan sumber rezeki generasi akan datang.
“Setiap nelayan dan kru vesel diwajibkan mematuhi undang-undang perikanan negara serta mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari.
“Tindakan tegas termasuk penahanan vesel dan tindakan kompaun akan diambil terhadap mana-mana pihak yang disabitkan dengan kesalahan ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia menyeru orang ramai dan komuniti maritim supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah
dan W.P. Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan
segera,” katanya.


















Comments